Warga emas ditahan simpan diesel tanpa permit di Labuan

Tiga unit tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC) mengandungi cecair disyaki diesel dengan anggaran keseluruhan 2,100 liter

LABUAN, 9 Jun- Seorang lelaki warga emas berusia 62 tahun ditahan selepas disyaki menyimpan diesel tanpa permit dalam sebuah stor tidak berdaftar di Kampung Lajau, di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPDN Labuan serbu stor tidak berdaftar, menemui tiga IBC mengandungi diesel dianggarkan 2,100 liter tanpa permit
  • Barangan disita di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, sitaan bernilai anggaran RM12,600 untuk siasatan lanjut
  • Jika sabit kesalahan denda besar atau penjara; Ops Tiris 4.0 akan diteruskan dan orang ramai diminta melapor aktiviti mencurigakan

Penemuan itu hasil serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan kira-kira pukul 12.00 tengah hari tadi menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu).

Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain berkata pemeriksaan mendapati tiga unit tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC) mengandungi cecair disyaki diesel dengan anggaran keseluruhan 2,100 liter.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati pemilik stor gagal mengemukakan Permit Barang Kawalan Berjadual atau kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan Malaysia bagi pemilikan serta penyimpanan diesel tersebut.

Kesemua barangan kes telah disita untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dengan nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM12,600.

Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan berulang boleh mencecah sehingga RM3 juta.

Bagi syarikat, denda maksimum boleh dikenakan sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.

KPDN menegaskan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) akan diteruskan sebagai komitmen berterusan membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan dan ketirisan subsidi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan melibatkan barang kawalan dan bersubsidi disaran menyalurkan maklumat melalui saluran rasmi KPDN bagi tindakan penguatkuasaan segera.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.