
JITRA, 19 Januari – Seorang pemandu van dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang gadis di persimpangan lampu isyarat Napoh, Kubang Pasu, Khamis lalu.
- Pemandu van, Yusof Senkonam, didakwa memandu secara berbahaya menyebabkan kematian penunggang motosikal, Fatin Nursyafikah Haris Bawijad.
- Pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 membawa hukuman penjara dan denda jika sabit kesalahan.
- Tertuduh tidak faham Bahasa Malaysia; sebutan semula ditetapkan 8 Februari untuk dapatkan jurubahasa Thai.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Yusof Senkonam, 60, ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri.
Mengikut kertas pertuduhan, Yusof didakwa memandu sebuah van secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal, Fatin Nursyafikah Haris Bawijad, 22 tahun.
Dia melakukan kesalahan itu di persimpangan lampu isyarat Napoh, Jalan Alor Setar–Bukit Kayu Hitam pada pukul 10.30 malam, pada 15 Januari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut dimaklumkan tertuduh, yang bekerja sebagai pemandu van dan berasal dari Wilayah Satun, Thailand, tidak memahami Bahasa Malaysia ketika pertuduhan dibacakan.
Sehubungan itu, Majistret Nor Syaliati menetapkan 8 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan khidmat jurubahasa Bahasa Thai.
Tiada jaminan ditawarkan dan tertuduh diperintahkan menjalani reman di penjara.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Asyiqin Hedzir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Menurut fakta kes, tertuduh dalam perjalanan dari Pantai Remis, Perak menuju ke Satun sebelum gagal memberhentikan kenderaannya ketika lampu isyarat merah di Napoh, lalu merempuh motosikal yang ditunggang mangsa dari simpang sebelah kiri.
Akibat kemalangan itu, mangsa yang bekerja di sebuah kedai makan maut di tempat kejadian.
Rakaman kemalangan turut tular di media sosial selepas dirakam kamera papan pemuka beberapa kenderaan dan orang awam.