
TUMPAT, 26 April – Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun cedera selepas terjatuh ke dalam sebuah perigi sedalam 18 kaki di sebuah sekolah di sini hari ini.
- Mangsa dipercayai duduk di atas penutup simen perigi sebelum struktur pecah dan menyebabkan dia terjatuh.
- Tukang kebun cuba menyelamat tetapi gagal selepas mengalami sesak nafas ketika menuruni separuh perigi.
- Bomba dikerah, mangsa dikeluarkan dengan peralatan menyelamat khas dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Bharu, Azmi Sulaiman berkata, mangsa dipercayai duduk di atas simen penutup perigi berkenaan sebelum struktur itu pecah dan mangsa terjatuh ke dalamnya.
“Mangsa dikenali sebagai Wan Ahmad Mukhlis Wan Md Fadhli pada awalnya cuba diselamatkan oleh tukang kebun sekolah, namun usaha itu tidak berjaya selepas individu berkenaan mengalami sesak nafas ketika menuruni separuh perigi,” katanya.
Pihak sekolah kemudian menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan lanjut.
Mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan menyelamat khas, sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk rawatan lanjut.