
JOHOR BAHRU, 18 Ogos – Sebanyak 441 premis diperiksa menerusi Op Tebrau dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Indah Water Konsortium (IWK) bagi memastikan pengosongan tangki septik dilaksanakan mengikut tempoh ditetapkan.
- Pengosongan tangki septik wajib mengikut undang-undang: setiap dua tahun dalam kawasan pihak berkuasa tempatan, tiga tahun di luar.
- Operasi penguatkuasaan menyasarkan premis yang menerima notis untuk mengosongkan tangki septik mengikut jadual.
- Kegagalan mengosongkan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 dan jika mengakibatkan pencemaran boleh dipenjara sehingga enam bulan.
- Tahap kesedaran awam masih rendah; hanya sekitar 8.6 peratus pemilik menyokong pengosongan secara berjadual.
Operasi itu menyasarkan premis yang telah menerima notis untuk mengosongkan tangki septik masing-masing.
Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman berkata, pengosongan tangki septik merupakan keperluan mengikut undang-undang, iaitu setiap dua tahun bagi premis dalam kawasan pihak berkuasa tempatan, manakala setiap tiga tahun bagi kawasan di luar kawasan pihak berkuasa tempatan.
“Kegagalan untuk membuat pengosongan akan didenda sebanyak RM50,000 setiap premis dan jika sekiranya kegagalan itu menyebabkan kacau ganggu atau ataupun pencemaran boleh dipenjara hingga enam bulan.
“Jadi kesalahannya adalah satu kesalahan yang bukan kesalahan yang ringan”, katanya kepada pemberita pada sidang media Op Tebrau SPAN di Johor Bahru, Johor.
Ketika ini, tahap kesedaran awam mengenai kepentingan pengosongan tangki septik masih rendah, iaitu kira-kira 8.6 peratus pemilik tangki septik individu bersetuju melaksanakan pengosongan secara berjadual.
Usaha penguatkuasaan diteruskan bagi memastikan pengurusan tangki septik dilaksanakan dengan baik sekali gus mengelakkan pencemaran alam sekitar.