
KUALA LUMPUR, 26 Mac -Polis berjaya menumpaskan empat sindiket curi motosikal yang aktif di sekitar daerah Wangsa Maju menerusi Op Lejang Khas 1/26.
- Operasi dijalankan 1 Januari hingga 20 Mac hasil risikan hampir tiga bulan.
- Dikesan empat kumpulan: Prakash, Ican, Kobis dan Botak Kuang.
- Rampasan 24 motosikal curi dan penahanan 21 suspek, direman antara satu hingga empat hari.
- Modus operandi: sasar PPR dan pusat perniagaan; guna nombor pendaftaran palsu, meleraikan dan jual alat ganti serta jualan dalam talian.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Senior Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, operasi bermula 1 Januari hingga 20 Mac lalu itu membongkar kegiatan tersebut hasil risikan hampir tiga bulan.
Beliau berkata, sindiket berkenaan dikenali sebagai Kumpulan Prakash, Kumpulan Ican, Kumpulan Kobis dan Kumpulan Botak Kuang.
“Jabatan Siasatan Jenayah IPD Wangsa Maju melalui Bahagian D4 telah berjaya mengesan dan merampas sejumlah 24 buah kenderaan curi dan telah menahan seramai 21 individu dalam Operasi Lejang Khas Wangsa Maju Fasa 1 Bilangan 1 2026.
“Dengan kekuatan seramai dua pegawai kanan polis dan 31 pegawai rendah polis, termasuk kerjasama dari semua balai di bawah pentadbiran IPD Wangsa Maju telah berjaya membuat tangkapan melibatkan 20 lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia antara 33 hingga 50 tahun.
“Kesemua yang ditahan direman antara satu hingga empat hari dan siasatan awal mendapati kesemua suspek terlibat secara langsung dengan kes-kes yang disiasat,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan Perhimpunan Khas Ketua Polis Daerah Wangsa Maju.
Mohamad Lazim berkata, hasil risikan mendapati kumpulan penjenayah itu menyasarkan motosikal yang diparkir di kawasan ‘hotspot’ seperti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) serta pusat perniagaan di Setapak dan Wangsa Maju.
Beliau berkata, kumpulan terbabit turut menggunakan nombor pendaftaran palsu bagi mengaburi pihak berkuasa sebelum membawa keluar motosikal curi ke daerah lain seperti Gombak dan kawasan luar Lembah Klang.
Katanya, mereka bukan sahaja menjual sebuah motosikal, malah ada yang meleraikan kenderaan dan menjual alat ganti secara berasingan.
Selain berurusan secara terus dengan pembeli, penjenayah juga melakukan penjualan secara dalam talian termasuk di laman Facebook.
Beliau berkata, setakat ini seramai lima orang telah dituduh di mahkamah bawah Seksyen 379A, Seksyen 379 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan.