
KUANTAN, 28 Ogos – Lima ahli Geng Lakino Garuda dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memiliki harta curi membabitkan kabel milik sebuah syarikat projek solar.
- Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memiliki harta curi.
- Tertuduhan melibatkan pemilikan tujuh gulung kabel milik RE Gebeng Sdn Bhd di kawasan projek solar.
- Empat warga Indonesia turut didakwa masuk tanpa permit; Sun Wei dibenarkan jamin RM4,500, empat lain tidak diberi jamin.
Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah.
Mengikut pertuduhan, Teo Sun Wei, 34 tahun warga tempatan bersama empat lagi warga Indonesia didakwa memiliki tujuh gulung kabel milik RE Gebeng Sdn Bhd di tepi pagar kawasan projek solar di Pahang kira-kira 4.30 petang pada 28 Jun lalu.
Empat warga Indonesia berkenaan ialah Roy Padri, 26, Sare Tamanto, 35, Larino, 41 dan Supono, 56 tahun.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Majistret Tuan Ruzuaini membenarkan Sun Wei diikat jamin sebanyak RM4,500 manakala, empat warga Indonesia tidak dibenarkan dijamin.
Dalam prosiding sama, empat warga Indonesia berkenaan turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasuki negara ini tanpa permit sah.
Pendakwaan dibuat mengikut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki
negara ini tanpa permit sah yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Najmi Zaki Amer Suhaimi.
Mahkamah kemudian menetapkan 1 Oktober ini untuk sebutan semula kedua-dua kes.