
KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Kerugian dan hutang berjumlah RM260,000 akibat penipuan cinta atau love scam dipercayai menjadi punca kepada kematian empat sekeluarga di sebuah kediaman di Desa ParkCity di ibu negara pada Khamis.
- Suspek lelaki 48 tinggalkan nota di meja makan menyatakan kesal terhadap isteri, menuduh hubungan dengan penipu cinta.
- Isteri masih cuba menghubungi scammer, suspek rasa malu kepada anak-anak dan anggap perbuatan itu melampau.
- Anak perempuan sembilan tahun mengalami liang tikaman leher lima sentimeter; post-mortem dijalankan, mayat isteri dan suspek turut akan disiasat.
- Polis jumpa sebilah pisau dan sepasang sarung tangan dalam laci bilik tidur; siasatan lanjut dan kes diklasifikasi mengikut Seksyen 302.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Pesuruhjaya Polis (CP) Datuk Fadil Marsus dalam kenyataan memaklumkan, suspek lelaki berusia 48 tahun yang merupakan suami kepada mangsa wanita tersebut meninggalkan sekeping nota di atas meja makan menyatakan rasa kesal terhadap isterinya.
“Si isteri dikatakan masih cuba menghubungi scammer tersebut dan suspek merasakan perbuatan itu melampau dan berasa malu kepada anak-anak.
“Suspek meninggalkan sekeping nota sebelum dipercayai membunuh diri di atas meja makan, menyatakan rasa kesal terhadap isteri yang dikatakan mempunyai hubungan dengan scammer (love scammer) sehingga suspek menanggung kerugian dan hutang sehingga RM260,000,” menurut kenyataan itu.
Sebelum itu, Datuk Fadil memaklumkan post-mortem ke atas mayat anak perempuan berusia sembilan tahun dijalankan hari ini pada 9.00 pagi dan selesai kira-kira 12 tengah hari.
“Satu liang tikaman dileher berukuran lima sentimeter (cm) ditemui dibahagian leher si mati. Usai solat Jumaat post-mortem kedua akan dijalankan ke atas mayat isteri.
“Dijangka hari ini akan dijalankan tiga post-mortem sahaja. Post-mortem ke atas mayat suspek dijangka akan diadakan selepas pasukan forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengadakan lawatan ke tempat kejadian pada pagi Sabtu,” menurut kenyataan itu.
Polis turut menemukan sebilah pisau dan sepasang sarung tangan yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan di dalam sebuah laci di bilik tidur utama. Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesahkan motif sebenar kejadian.
Terdahulu media melaporkan suspek yang juga pengarah sebuah syarikat milik bapanya, ditemukan maut selepas terjatuh dari bangunan kondominium berkenaan, manakala isterinya berusia 47 tahun serta dua anak masing-masing seorang perempuan dan lelaki berusia sembilan dan tujuh tahun ditemukan meninggal dunia dalam unit kediaman keluarga itu.
Ketiga-tiga mangsa ditemukan mengalami kecederaan parah pada bahagian leher dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh.