
KUALA PILAH, 10 April – Polis menahan seorang lelaki selepas menyerang adiknya menggunakan parang dalam satu pergaduhan di sebuah rumah di Taman Air Mawang, Johol di sini pada Khamis.
- Laporan diterima pada 3.49 petang, menurut Ketua Polis Daerah.
- Kejadian berpunca daripada perselisihan faham keluarga berkaitan urusan peribadi.
- Mangsa lelaki berusia 27 tahun cedera pada pergelangan tangan kiri dan dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan; orang ramai diminta hubungi IPD Kuala Pilah atau Pegawai Penyiasat Supiah Ishak.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintenden Muhamad Mustafah Hussin menerusi kenyataan memaklumkan laporan berhubung kejadian membabitkan mangsa berusia 27 tahun itu diterima pada 3.49 petang.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham dalam kalangan ahli keluarga berkaitan urusan peribadi.
“Mangsa lelaki berusia 27 tahun telah pergi ke rumah keluarganya sebelum berlaku pertengkaran dan pergaduhan.
“Siasatan lanjut mendapati seorang lelaki, yang juga abang kepada mangsa, telah bertindak datang ke lokasi kejadian dengan memirawa sebilah parang dan menyerang mangsa dan telah berlaku pergelutan diantara mereka dan kedua-dua pihak telah cedera,” menurut kenyataan itu.
Mangsa cedera pada bahagian pergelangan tangan kiri menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, manakala abangnya mengalami kecederaan ringan pada bahagian tangan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah menerusi nombor 06-4842999 atau Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Supiah Ishak, 019-9933978.