
MANJUNG, 10 April – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya merampas dan menyita sebanyak 5,070 liter minyak diesel hasil serbuan ke atas sebuah premis perniagaan kayu dan perkakasan di Kampung Raja Hitam, Ayer Tawar, awal pagi Khamis.
- Serbuan dilakukan pada 12.30 tengah malam menerusi Op Tiris 4.0 dan Op Jeriji dengan kerjasama Pasukan Polis Marin.
- Premis dijadikan lokasi transit pengumpulan minyak diesel secara tidak sah; seorang lelaki dikesan memindahkan cecair dari lori tiga tan ke tangki IBC.
- Lori diubahsuai dengan tangki fiber tambahan dan lapan invois pembelian ditemui, menunjukkan pembelian berulang di stesen minyak sama di Sitiawan.
- Rampasan termasuk lori, skid tank, dua tangki IBC, pam elektrik, tangki fiber dan hos, bernilai lebih RM56,000; kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Serbuan pukul 12.30 tengah malam itu dilakukan menerusi Op Tiris 4.0 dan Op Jeriji dengan kerjasama Pasukan Polis Marin ke atas premis yang dijadikan lokasi transit pengumpulan minyak diesel secara tidak sah.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail dalam kenyataan memaklumkan, ketika serbuan dijalankan, seorang lelaki tempatan dikesan sedang memindahkan cecair disyaki minyak diesel dari sebuah lori tiga tan ke dalam tangki jenis Bekas Pukal Perantaraan (IBC).
“Pemeriksaan mendapati lori tersebut telah diubahsuai dengan pemasangan tangki fiber tambahan di bahagian belakang.
“Lapan unit invois belian turut ditemui menunjukkan suspek melakukan pembelian berulang di stesen minyak yang sama di Sitiawan bagi mengumpul stok dalam kuantiti besar sebelum dijual semula ke pasaran industri,” menurut kenyataan itu.
KPDN kemudian menyita cecair disyaki minyak diesel sebanyak 5,070 liter, sebuah lori tiga tan, satu skid tank, dua tangki IBC, dua unit pam elektrik, satu tangki fiber dan empat unit hos dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah lebih RM56,000.
Kes disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Manakala stesen minyak yang disyaki terlibat juga akan disiasat bawah peruntukan sedia ada termasuk syor pembatalan Lesen CSA Runcit barang kawalan minyak diesel jika didapati terlibat dalam penyelewengan.