
GUA MUSANG, 20 September- Lebih 220 penduduk daripada 56 keluarga dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir kilat yang menjejaskan lebih 200 rumah di 10 kawasan perkampungan di daerah ini, awal pagi tadi.
- Penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di RKT Kesedar Jeram Tekoh dan Balai Raya Felda Chiku 6.
- Beberapa kawasan perkampungan terjejas selepas air naik dengan cepat, memaksa penduduk alihkan kenderaan dan barangan sebelum berpindah.
- ADUN Nenggiri berkata bantuan sedang digerakkan, menggesa penduduk tepi sungai supaya bersedia dan utamakan keselamatan.
Penduduk terjejas dipindahkan ke PPS di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh dan Balai Raya Felda Chiku 6 selepas hujan lebat menyebabkan air naik dengan cepat.
Antara kawasan terjejas ialah RKT Kesedar Renok Baru, RKT Sungai Asap A dan B, Taman Agropolitan Rantau Manis, RKT Kesedar Jeram Tekoh, Kampung Limau Kasturi, Kampung Serian Batu 11 dan 12 serta Kampung Jelekang.
Penduduk, Siti Rahayu Samat berkata air mula naik sekitar tengah malam dan meningkat dalam tempoh kira-kira setengah jam, menyebabkan beliau segera mengalihkan kenderaan serta barangan sebelum berpindah ke PPS sekitar 2.00 pagi.
“Air mula naik sekitar tengah malam. Air naik dengan cepat, dalam lebih kurang setengah jam. Kami terus alihkan kereta, motosikal dan barang-barang. Saya pergi tengok di dapur, air dah mula naik,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Norhairin Abd Rahim berkata hujan bermula selepas waktu Isyak sebelum banjir berlaku kira-kira 12.30 tengah malam.
“Tak sedar, orang kejut. Air dah sampai depan jalan. Lepas itu saya nak ambil kereta, air dah sampai separuh. Memang cepat,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata bantuan sepatutnya telah digerakkan untuk penduduk terjejas.
“Kita dimaklumkan kadar hujan semalam 100 milimeter, agak luar biasa dan kenaikan agak drastik. Untuk Jeram Tekoh, bulan lepas baru berlaku banjir. Jadi, kita akan mengenal pasti masalah berkaitan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan penduduk yang tinggal berhampiran sungai supaya sentiasa bersedia dan berhati-hati serta mengutamakan keselamatan diri dan keluarga.