
TELUK INTAN, 20 September – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel nelayan dengan penahanan tiga individu di sebuah jeti perikanan di Hutan Melintang, awal pagi semalam.
- Op Tiris 4.0 hasil risikan sebulan membanteras penyalahgunaan dan penyelewengan minyak diesel bersubsidi.
- Pemeriksaan menemui 43,000 liter minyak diesel serta peralatan pemindahan, termasuk lori tangki dan dua tangki skid.
- Nilai sitaan dianggarkan lebih RM1.5 juta; kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan peraturan 1974.
Serbuan menerusi Op Tiris 4.0 dilakukan pada 5 pagi, hasil risikan dan pemantauan selama sebulan bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan serta penyelewengan barang kawalan khususnya minyak diesel bersubsidi.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, risikan mendapati terdapat sebuah lori tangki memasuki kawasan jeti bagi mengambil minyak diesel yang disimpan di dalam dua buah tangki skid.
“Kedua-dua tangki itu dipercayai menyimpan minyak diesel nelayan yang telah disedut dan dipindahkan tanpa kebenaran daripada sebuah bot nelayan kelas C pemilik jeti berkenaan.
“Serbuan membawa kepada penahanan tiga individu berusia lingkungan 33 hingga 42 tahun terdiri daripada pemandu lori bersama kelindan serta pemilik jeti,” katanya menerusi kenyataan.
Siasatan awal mendapati minyak diesel yang dibeli pada harga RM1.65 seliter dipercayai dijual semula di pasaran gelap pada harga hampir RM4.
Pemeriksaan lanjut di kawasan itu turut menemukan sebanyak 43,000 liter minyak diesel.
Tindakan sitaan diambil melibatkan sebuah bot nelayan kelas C berkapasiti 14,000 liter, sebuah lori tangki berkapasiti 43,000 liter, dua buah tangki skid, 43,000 liter minyak diesel, dan beberapa peralatan pemindahan minyak.
Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan berjumlah lebih RM1.5 juta.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.