
JOHOR BAHRU, 24 Mac — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menjalankan siasatan susulan aduan pengisian petrol RON95 bersubsidi ke dalam tong plastik melebihi had yang dibenarkan di sebuah stesen minyak di sekitar Skudai, dekat sini, pada 21 Mac lalu.
- Pemeriksaan di stesen minyak termasuk semakan rakaman CCTV serta rekod transaksi dan resit bagi tujuan pengesahan.
- Semakan awal mendapati dua transaksi: satu ke tangki kenderaan, satu lagi ke tong plastik di but melebihi had dibenarkan.
- Pihak berkuasa jalankan siasatan lanjut, panggil pemilik kenderaan, beri peringatan pengurusan dan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata pihaknya mengambil maklum berhubung hantaran media sosial yang tular membabitkan sebuah kenderaan dipercayai mengisi petrol ke dalam bekas berkenaan.
Katanya, pemeriksaan telah dijalankan di stesen minyak berkenaan melibatkan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) selain meneliti rekod transaksi dan resit pembelian bagi tujuan pengesahan.
“Hasil semakan awal mendapati terdapat dua transaksi pengisian petrol RON95, iaitu satu ke dalam tangki kenderaan dan satu lagi ke dalam tong plastik di bahagian but dengan kuantiti melebihi had yang dibenarkan oleh Pengawal Bekalan Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya, pasukan penguat kuasa turut menjalankan siasatan lanjut bersama pihak pengurusan stesen minyak selain memberikan peringatan supaya sentiasa mematuhi peraturan dan meningkatkan pemantauan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
“Kami juga akan mengambil tindakan susulan termasuk mengesan serta memanggil pemilik kenderaan bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu.
Manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda boleh mencecah RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Bagi syarikat, katanya, denda tidak melebihi RM2 juta boleh dikenakan, manakala bagi kesalahan berulang, denda boleh meningkat sehingga RM5 juta.