
KOTA BHARU, 21 Julai – Ketua balai polis yang ditahan reman berhubung dakwaan menerima rasuah RM500 daripada warga asing kini ditahan kerja sementara menunggu siasatan selesai.
- Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata tindakan selaras dengan siasatan SPRM dan JIPS.
- JIPS akan jalankan siasatan tatatertib secara selari dengan siasatan SPRM.
- Perintah reman hingga 26 Julai dikeluarkan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rashid mengikut Seksyen 117.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata tindakan itu selari dengan siasatan yang sedang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kita masih dalam siasatan pihak SPRM dan kita akan buat tahan kerja dahulu untuk membolehkan siasatan tatatertib oleh JIPS dijalankan secara selari dengan siasatan SPRM,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan seorang ketua balai polis berusia 41 tahun direman tujuh bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima rasuah RM500 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap seorang warga asing.
Perintah reman hingga 26 Julai terhadap suspek berusia 41 tahun itu dikeluarkan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rashid mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selepas menerima permohonan pegawai SPRM.