
TUMPAT, 21 Julai – Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan dua pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dipercayai memasuki negara melalui laluan sungai tidak diwartakan dalam Op Taring Wawasan di Kampung Kelaboran, Pengkalan Kubor, malam tadi.
- Kedua-dua lelaki gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sah; disyaki tinggal tanpa kebenaran.
- Mengaku memasuki Malaysia dari Thailand melalui laluan sungai; menerima tawaran kerja binaan dan membayar RM10,000 kepada ejen.
- Suspek ditahan, diserahkan kepada BSJD IPD Tumpat dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain, berkata kedua-dua lelaki itu ditahan kira-kira jpukul 7.55 malam Isnin.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua lelaki itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah serta disyaki tinggal di Malaysia tanpa kebenaran.
“Hasil siasatan awal mendapati seorang lelaki warga Bangladesh berusia 36 tahun dan seorang lagi warga Myanmar berusia 32 tahun mengaku memasuki Malaysia dari Thailand dengan menggunakan laluan sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua mereka turut menerima tawaran bekerja sebagai buruh binaan di negara ini dan telah membayar RM10,000 kepada ejen bagi menguruskan perjalanan mereka ke Malaysia.
Katanya, tiada sebarang rampasan dibuat dalam operasi berkenaan.
“Kedua-dua suspek telah ditahan dan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah,” katanya.