Kesalahan LKM tamat tempoh tertinggi dalam operasi JPJ Melaka

Foto fail

MELAKA, 29 Januari -Kesalahan gagal memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) merupakan kesalahan tertinggi yang dikesan dalam Operasi Bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka dengan sebanyak 86 kes.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi Bersepadu JPJ Melaka menyita lima kenderaan kerana lesen tamat tempoh dan tiada insurans.
  • Antara kenderaan disita ialah empat motosikal dan satu motokar.
  • Seorang pelajar tingkatan lima ditahan kerana motosikal diubah suai secara berlebihan.
  • AADK periksa 14 individu, dua positif dadah; JAS keluarkan tiga kompaun bagi bunyi tidak standard.

Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, hasil operasi tersebut sebanyak lima kenderaan disita melibatkan empat buah motosikal dan satu kereta akibat kesalahan LKM tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.

Beliau berkata, seorang pelajar tingkatan lima turut ditahan selepas motosikal yang ditungganginya didapati telah diubah suai secara berlebihan.

“Operasi khas bersepadu ini turut menyita lima buah kenderaan yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan antaranya lesen kenderaan motor tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.

“Antara kenderaan disita terdiri daripada empat buah motosikal dan satu buah motokar. Hasil pemeriksaan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mendapati seramai 14 individu telah diperiksa dengandua individu didapati positif bahan terlarang berdasarkan ujian saringan awal,” katanya kepada pemberita selepas Operasi Bersepadu JPJ Melaka bersama agensi di Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ).

Menerusi kerjasama itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut memeriksa enam buah kenderaan dan mengeluarkan tiga kompaun atas kesalahan bunyi yang tidak mengikut standard yang ditetapkan.