
MELAKA, 29 Januari -Kira-kira 579 buah kenderaan mewah telah diperiksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka menerusi Ops Luxury yang menumpukan kepada kereta mewah di sekitar negeri itu sejak Januari 2025 hingga 27 Januari 2026.
- Pemeriksaan Ops Luxury oleh JPJ Melaka melibatkan 579 kenderaan mewah sejak Januari 2025 hingga 27 Januari 2026.
- Sebanyak 85 kenderaan disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
- Kesalahan utama ialah LKM dan insurans tamat tempoh, dengan 76 kes direkodkan.
Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 85 kenderaan telah disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Menurutnya, kesalahan tertinggi yang dikesan ialah Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans tamat tempoh dengan 76 kes.
Selain itu, lima kes melibatkan LKM tamat tempoh, satu kes pemandu warga asing tanpa Lesen Memandu Kompeten (CDL) serta satu kes mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan milik kenderaan lain.
“Kenderaan mewah yang turut disita kesalahan, Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans merupakan kesalahan paling kerap dicatat sepanjang penguatkuasaan Ops Luxury,” katanya kepada pemberita selepas Operasi Bersepadu JPJ Melaka bersama agensi di Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ).
Setakat 1 Januari hingga 27 Januari lalu, 17 kenderaan mewah telah disita bawah seksyen sama.