Kes pukul tujuh anggota: TDM tubuh lembaga siasatan

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR, 4 April — Tentera Darat Malaysia (TDM) menubuhkan sebuah lembaga siasatan bagi menyiasat insiden membabitkan seorang koperal yang didakwa memukul tujuh anggota lain di Kem Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Bentong.

RINGKASAN BERITA AI
  • Panglima Tentera Darat menegaskan isu ini dipandang serius; jamin siasatan dijalankan secara telus dan segera.
  • Suspek ditahan reman polis dan dikenakan tahanan rapi mengikut prosedur Tentera Darat, ditempatkan secara berasingan.
  • Jika terbukti pelanggaran undang-undang, tindakan tegas dan sewajarnya akan diambil mengikut peruntukan sedia ada.
  • Seorang mangsa kini menerima rawatan rapi di Hospital Temerloh; keadaan tidak stabil, bergantung kepada alat sokongan hayat.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman menegaskan, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara telus dalam tempoh secepat mungkin.

Menurut beliau, suspek kini telah ditahan reman oleh pihak polis bagi membantu siasatan.

“Selepas tempoh reman tamat, sekiranya terbukti berlaku pelanggaran undang-undang, tindakan tegas dan sewajarnya akan diambil mengikut peruntukan sedia ada.

“Buat masa ini, suspek dikenakan tahanan rapi mengikut prosedur Tentera Darat dan ditempatkan secara berasingan bagi memastikan dia tidak bercampur dengan anggota lain,” katanya.

Mengulas mengenai keadaan mangsa, Jeneral Datuk Azhan memaklumkan salah seorang daripada mereka kini sedang menerima rawatan rapi di Hospital Temerloh.

“Keadaan mangsa dilaporkan masih tidak stabil dan kini bergantung kepada bantuan alat sokongan hayat,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Istiadat Perbarisan Hari Tentera Darat ke-93 di Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.