Kemalangan 12 motosikal : Polis ambil keterangan 15 individu

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin

SLIM RIVER, 21 September – Seramai 15 individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes kemalangan maut melibatkan 12 buah motosikal dan tiga kenderaan di Jalan Jelapang-Ampang, Ipoh, Sabtu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiga penunggang motosikal maut, sembilan cedera dirawat di HRPB; mangsa berumur antara 19 hingga 25 tahun.
  • Kemalangan dipercayai berlaku apabila kumpulan pertama hilang kawalan, menyebabkan pelanggaran berantai melibatkan motosikal dan kereta.
  • Polis menyiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mengesan pemilik sebenar kenderaan terlibat.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, keterangan diambil bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku apabila kumpulan pertama penunggang motosikal gagal mengawal motosikal masing-masing sebelum melanggar sebuah kenderaan.

“Susulan pelanggaran tersebut, kumpulan kedua penunggang motosikal gagal mengelak dan seterusnya melanggar motosikal dan kereta yang telah terlibat dalam kemalangan tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim.

Beliau berkata kemalangan tersebut telah mengakibatkan tiga penunggang motosikal berusia antara 19 hingga 20 tahun maut di lokasi kejadian.

Sembilan penunggang motosikal berusia antara 19 hingga 25 tahun pula mengalami pelbagai kecederaan dan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Pihaknya juga masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan, termasuk mengesan pemilik sebenar kenderaan yang terlibat.

Dalam perkembangan berasingan, Datuk Mohd Alwi memaklumkan sebanyak 64 operasi motosikal dan samseng jalanan telah dilaksanakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik daerah Ipoh bagi tempoh Januari hingga 19 September lalu.

11 tangkapan telah dibuat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala sebanyak 41 kes sitaan kenderaan telah dilaksanakan di bawah Seksyen 64(1) akta yang sama.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.