
KUALA LUMPUR, 21 Jun – Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun yang disyaki merakam seorang wanita di dalam tandas sebuah restoran di Pekan Bekenu, Miri semalam.
- Kelindan lori ditahan kira-kira pukul 11.30 pagi selepas mangsa membuat laporan polis.
- Suspek dipercayai merakam mangsa menggunakan telefon bimbit; telefon tersebut dirampas untuk siasatan.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan; suspek dibawa ke muka pengadilan.
Suspek yang bekerja sebagai kelindan lori itu ditahan kira-kira pukul 11.30 pagi pada hari sama selepas polis menerima laporan daripada mangsa.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Polis (ACP) Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, suspek dipercayai menggunakan telefon bimbit untuk merakam mangsa ketika berada di dalam tandas.
“Perbuatan suspek disedari mangsa ketika berada di dalam tandas sebelum wanita itu membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.
“Telefon bimbit yang dipercayai digunakan suspek semasa kejadian turut dirampas bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Mohd Farhan berkata, polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan jenayah.
“Suspek yang ditangkap dibawa ke muka pengadilan mengikut peruntukan undang-undang,” tegasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana melanggar kesopanan.