Kes culik palsu: Dua individu direman

Foto BERNAMA 

KUALA LUMPUR, 21 Jun – Dua individu termasuk wanita yang dipercayai memalsukan penculikannya bagi mendapatkan wang tebusan berjumlah RM18,000 direman 14 hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wanita ditemui selamat dalam serbuan Ops Scorpion di sebuah rumah di Taman Perniagaan Setia, Johor Bahru.
  • Operasi digerakkan susulan laporan ibu mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan, Sarawak.
  • Seorang lelaki 27 tahun ditahan, mempunyai tiga rekod lampau dan empat telefon bimbit dirampas.
  • Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 dan individu akan dibawa ke Sarawak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata reman berkenaan diperoleh di Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor, hari ini.

“Dua individu terbabit akan dibawa ke Sarawak bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 kerana menculik untuk wang tebusan,” katanya.

Semalam, beliau memaklumkan wanita berusia 20-an itu ditahan selepas ditemukan “selamat” dalam serbuan Ops Scorpion di sebuah rumah di Taman Perniagaan Setia, Johor Bahru pada 3.30 petang.

​Beliau berkata operasi itu digerakkan susulan laporan dibuat ibu wanita berkenaan berusia 43 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan, Sarawak, pada Jumaat yang mendakwa anak perempuannya diculik individu tidak dikenali.

Dalam serbuan itu, polis turut menahan seorang lelaki berusia 27 tahun yang mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kes dadah dan jenayah selain merampas empat telefon bimbit.

Bagaimanapun, Datuk M. Kumar berkata siasatan awal mendapati naratif kejadian culik yang didakwa mangsa adalah meragukan, lantas membawa kepada penahanan wanita itu bagi membantu siasatan. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.