Lelaki dicekup sedut petrol untuk dijual kepada peraih

Cubaan sedut petrol di tepi jalan gagal/Foto PGA Briged Tenggara

KUALA LUMPUR, 21 Jun – Kegiatan seorang lelaki yang dipercayai menyedut petrol dari tangki kereta untuk dijual kepada peraih di kawasan sempadan terbongkar selepas dia ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Tumpat, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • 60 liter petrol serta hos dan pam dirampas, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM8,293.20.
  • Suspek menjalankan aktiviti penyeludupan petrol secara sambilan sejak kira-kira dua tahun lalu.
  • Petrol dibeli di stesen minyak Pengkalan Kubor dan dijual kepada peraih dikenali sebagai 'Pak Ya', margin kira-kira RM11.40 setiap 30 liter.

Suspek berusia 34 tahun itu ditahan ketika suspek sedang menyedut petrol dari tangki sebuah kereta ke dalam tong plastik di tepi jalan berhampiran di Pengkalan Haram Tualang, Simpangan.

Komander Briged Tenggara PGA Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan menemukan 60 liter petrol yang dipercayai untuk dijual kepada peraih di kawasan sempadan.

“Turut dirampas sebuah hos getah dan pam angin yang dipercayai digunakan bagi memindahkan bahan api tersebut ke dalam tong simpanan.

“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan bernilai RM8,293.20,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Radzi, suspek terlibat secara sambilan dalam kegiatan penyeludupan petrol sejak kira-kira dua tahun lalu.

Katanya, suspek menggunakan tangki asal kenderaannya tanpa sebarang pengubahsuaian dan mampu membawa kira-kira 60 liter petrol bagi setiap perjalanan.

“Hasil soal siasat mendapati petrol itu dibeli di sebuah stesen minyak di Pengkalan Kubor sebelum dijual kepada seorang peraih yang dikenali sebagai ‘Pak Ya’ di kawasan pengkalan haram tersebut.

“Suspek dipercayai memperoleh keuntungan sekitar RM11.40 bagi setiap tong berkapasiti 30 liter yang dijual,” katanya.

Beliau berkata, suspek bersama barang rampasan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kota Bharu untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.