
KUALA TERENGGANU, 21 Jun – Taktik menggunakan rumah pusaka sebagai transit penyimpanan dadah oleh sebuah sindiket terbongkar berikutan rampasan 22 kilogram bunga ganja bernilai RM1.76 juta dalam satu serbuan di Kampung Duyong Besar di sini, baru-baru ini.
- Dua beradik lelaki berusia 39 dan 50 tahun ditahan.
- Sindiket dipercayai aktif sejak Mac 2026 menggunakan rumah kediaman sebagai tempat penyimpanan sementara.
- Bekalan dipercayai dari rangkaian antarabangsa diseludup melalui laut dan diproses menjadi cecair untuk vape.
- Polis menyita kenderaan, motosikal dan wang tunai; suspek direman di bawah Seksyen 39B Akta Dadah, hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, dalam operasi berkenaan, pihak polis berjaya menahan dua beradik lelaki yang masing-masing berusia 39 dan 50 tahun.
Beliau menjelaskan sindiket yang dipercayai mula aktif sejak Mac 2026 itu menjadikan rumah kediaman sebagai tempat penyimpanan sementara bekalan dadah sebelum diseludup ke pasaran antarabangsa.
“Bekalan dadah tersebut dipercayai diperolehi daripada rangkaian sindiket antarabangsa yang menyeludup masuk dadah melalui jalan laut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurut Mohd Khairi, siasatan awal mendapati bahan terlarang berkenaan dibawa masuk untuk diproses menjadi cecair bagi kegunaan rokok elektronik atau vape.
Selain rampasan dadah, polis turut menyita sebuah kereta, tiga buah motosikal serta wang tunai berjumlah RM6,000.
Mengulas lanjut mengenai suspek, beliau berkata ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua beradik itu negatif dadah.
Namun salah seorang daripada mereka dikesan mempunyai 13 rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.
Kedua-dua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.