Lelaki rempuh dua kenderaan PGA dicekup bersama 53 pil yaba

Polis rampas 53 biji pil yaba dalam operasi semalam/Foto PGA Briged Tenggara

PASIR MAS, 21 Jun – Seorang lelaki ditahan selepas bertindak merempuh dua kenderaan Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika cuba melarikan diri di Jalan Pasir Mas-Tanah Merah, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • 53 pil yaba dan satu pil epam dirampas, disembunyikan dalam beg silang dan ruang pemandu.
  • Suspek ditahan selepas berlaku sedikit pergelutan dengan anggota; ujian saringan air kencing negatif dadah.
  • Rampasan lain termasuk telefon, RM375, beg silang dan kenderaan; nilai dianggarkan RM32,015. Siasatan bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 186.

Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan bersama 53 biji pil yaba dan sebiji pil epam.

Komander Briged Tenggara PGA Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata dalam Op Taring Wawasan itu sebuah kereta diarahkan berhenti untuk pemeriksaan.

Suspek yang memandu kenderaan berkenaan bertindak memecut laju ke arah Tanah Merah sebelum dikejar anggota PGA.

“Suspek kemudian membelok masuk ke Jalan Kampung Semuba Chetok sebelum merempuh sebuah kenderaan pasukan yang berada di hadapan.

“Dia turut mengundurkan kenderaannya sehingga merempuh sebuah lagi kenderaan pasukan yang berada di belakang dalam cubaan melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Radzi, suspek kemudiannya keluar dari kenderaan dan cuba melarikan diri namun berjaya ditahan selepas berlaku sedikit pergelutan dengan anggota bertugas.

“Kira-kira 53 biji pil yaba serta sebiji pil epam yang disembunyikan di dalam beg silang dan ruang bahagian pemandu kenderaan.

“Turut dirampas sebuah telefon bimbit, wang tunai RM375, beg silang dan kenderaan yang digunakan suspek,” katanya.

Beliau berkata ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM32,015 dan siasatan mendapati suspek memperoleh bekalan dadah daripada seorang lelaki yang dipercayai tinggal di Kota Bharu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.