
IPOH, 23 Mac– Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung tugas dua anggotanya bagi membantu siasatan berhubung dua insiden berasingan membabitkan kenderaan jabatan tersebut, termasuk satu kes kemalangan maut.
- JPJ menggantung tugas dua anggota bagi membantu siasatan dua insiden membabitkan kenderaan jabatan, termasuk satu kes kemalangan maut.
- Siasatan dalaman akan dijalankan secara telus tanpa melindungi mana-mana pihak.
- Penggantungan dilaksanakan serta-merta sementara siasatan pelbagai sudut dan proses di Ibu Pejabat dijalankan.
- Kejadian pertama video tular langgar garisan berkembar; kejadian kedua kemalangan maut. JPJ siasat video, polis siasat kemalangan.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli menegaskan, siasatan dalaman akan dijalankan secara telus tanpa melindungi mana-mana pihak.
Tambahnya, tindakan penggantungan dilakukan serta-merta sementara proses siasatan pelbagai sudut dilaksanakan.
“Saya telah mengarahkan kedua-dua anggota tersebut digantung tugas serta-merta sehingga siasatan dalaman selesai. Bagi kes video tular, siasatan akan dijalankan oleh pihak JPJ, manakala bagi kes kemalangan maut, siasatan akan dilaksanakan oleh pihak polis.”
“Bukan setakat notis saman, sekiranya didapati bersalah, kita akan ambil tindakan tegas. Saya telah mengeluarkan arahan untuk menarik mereka ke Ibu Pejabat bagi proses penggantungan tugas ini,” kata Datuk Aedy kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui selepas melaksanakan Pemantauan Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri Tahun 2026 di Pusat Kawalan Menora, di sini.
Menurutnya, kedua-dua kejadian melibatkan kenderaan dan anggota yang sama, namun berlaku pada tarikh serta lokasi yang berbeza.
Kejadian pertama membabitkan video tular kenderaan jabatan melanggar garisan berkembar di Kilometer 129, Hentian Damai, Lebuhraya Timur Barat (Jeli) pada 19 Mac, pukul 3.00 petang.
Sementara itu, kejadian kedua melibatkan kemalangan maut di Kilometer 85.5, Jalan Kota Bharu–Machang-Jeli di Tanah Merah pada keesokan harinya, pukul 4.30 petang.