
IPOH, 23 Jun – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung insiden seorang pelajar yang dipercayai terjatuh dari bangunan sekolah di negeri tersebut semalam.
- Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
- JPN Perak mendoakan kesembuhan mangsa dan menzahirkan keprihatinan kepada keluarga.
- Langkah diambil untuk menjaga kebajikan pelajar serta keluarga sepanjang tempoh rawatan; sokongan psikososial disediakan.
- Pihak polis menyiasat punca kejadian; orang ramai diminta menghormati privasi dan memberi ruang siasatan.
JPN Perak dalam kenyataan hari ini, memaklumkan pelajar tersebut kini sedang menerima rawatan di hospital, dan siasatan dalaman akan meneliti semua aspek berkaitan kejadian tersebut.
“JPN Perak mendoakan agar pelajar berkenaan diberikan kesembuhan segera dan keluarga beliau terus tabah menghadapi ujian ini.
“Pihak jabatan mengambil serius insiden berkenaan serta menzahirkan keprihatinan terhadap keadaan pelajar terbabit,” menurut kenyataan itu hari ini.
Pada masa sama, JPN Perak memaklumkan, langkah sewajarnya telah diambil bagi memastikan kebajikan pelajar serta keluarganya terus terpelihara sepanjang tempoh rawatan.
“Sokongan psikososial turut disediakan kepada warga sekolah yang terkesan dengan kejadian berkenaan,” menurut kenyataan itu lagi.
JPN Perak turut memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis yang sedang menjalankan siasatan.
Sementara itu, orang ramai digesa supaya memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan serta menghormati privasi dan sensitiviti keluarga pelajar tersebut.
Dalam kejadian semalam, pelajar lelaki Tingkatan Satu itu mengalami kecederaan parah selepas dipercayai terjatuh dari bangunan sebuah sekolah menengah di Ipoh.
Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), manakala polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.