
PENDANG, 23 April – Tindakan sebuah gerai vendor makanan mengguna dan menyimpan minyak masak peket berlebihan mengundang padah.
- Serbuan KPDN Alor Setar di premis Tanah Merah susulan aduan awam, sekitar pukul 4.30 petang.
- Sebanyak 781 kilogram minyak masak peket 1 kilogram pelbagai jenama ditemui disimpan atau disembunyikan di belakang premis.
- Pemilik premis lelaki 40-an tidak mempunyai permit simpanan atau lesen runcit CSA; kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
- Pemilik mengaku membeli tiga paket sehari sejak awal Mac 2026; KPDN menyita semua 781 kg, nilai rampasan RM1,955 untuk siasatan.
Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Alor Setar di sebuah premis di Tanah Merah, di sini, kira-kira pukul 4.30 petang, susulan aduan awam.
KPDN Kedah dalam kenyataan berkata pemeriksaan mendapati sejumlah 781 kilogram minyak masak paket 1 kilogram pelbagai jenama dijumpai disimpan atau disembunyikan di belakang premis.
Siasatan lanjut mendapati pemilik premis, seorang lelaki tempatan berusia 40-an tidak memiliki permit menyimpan barang kawalan ataupun lesen runcit CSA. Perbuatan itu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, kerana memiliki barang kawalan (minyak masak) tanpa kebenaran Pengawal Bekalan.
Hasil soal siasat, pemilik premis mengakui membeli minyak masak paket dari peruncit sekitar Pendang.
“Sehari pembelian sebanyak 3 paket dan ianya dikumpul sejak awal Mac 2026 yang lepas untuk kegunaan menggoreng makanan di gerai tersebut”, menurut kenyataan itu.
KPDN Alor Setar telah menyita kesemua 781 kilogram minyak masak paket 1 kilogram dengan nilai rampasan sebanyak RM1,955 untuk siasatan lanjut.