Exco Kedah didakwa di Mahkamah Majistret Seremban

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan Exco Pengajian Tinggi Kedah, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berhubung kenyataan tentang kemasukan pelajar ke universiti awam tanpa melalui UPU.
  • Sebanyak 15 laporan polis diterima berkaitan kenyataan yang dibuat dalam satu program di Negeri Sembilan pada 13 Jun.
  • Jika sabit kesalahan, hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan.
  • Mahkamah membenarkan jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 30 Julai.

Ia bagi menghadapi pertuduhan berkaitan kenyataan berhubung isu kemasukan pelajar ke universiti awam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM,Datuk M. Kumar S. Muthuvelu berkata, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berhubung kenyataan yang dikaitkan dengan kewujudan kemasukan pelajar ke universiti awam tanpa melalui saluran Unit Pusat Universiti (UPU).

“Sebanyak 15 laporan polis telah diterima berhubung kenyataan tersebut yang dibuat dalam satu program di Negeri Sembilan pada 13 Jun lalu.

“Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin, dan menetapkan 30 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tertuduh diwakili peguam Mohd Faizi Che Abu dan Yahaya Othman.

Dalam masa sama, PDRM menasihatkan orang ramai supaya menghormati proses perundangan yang sedang berjalan serta tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh menjejaskan prosiding mahkamah.

Orang ramai juga diingatkan agar menggunakan media sosial secara berhemah dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat ketenteraman awam, selaras dengan peranan PDRM dalam memastikan keamanan dan kestabilan negara terpelihara

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.