Empat termasuk dua beradik didakwa bunuh lelaki di ladang kelapa sawit

Kesemua tertuduh didakwa bersama-sama membunuh Mohd Badaruddin Md Nayan, 30, di sebuah kawasan ladang kelapa sawit di Kg Sungai Division, 23 Ogos lalu./ RTM

SUNGAI PETANI, 7 September – Empat lelaki termasuk dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di sebuah ladang kelapa sawit di sini, 23 Ogos lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan.
  • Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, hukuman gantung atau penjara 30 hingga 40 tahun, atau sekurang-kurangnya 12 sebatan.
  • Bedah siasat mendapati kecederaan belakang kepala akibat objek tumpul; kes diklasifikasikan semula sebagai bunuh, motif dipercayai pergaduhan susulan kecurian.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh Mohamad Iekram Mohd Zaki, 29, Mohamad Bakri Mahidin, 37, adiknya, Muhamad Ariff, 26; dan Mohd Firdaus Che Mustafa, 36.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama membunuh Mohd Badaruddin Md Nayan, 30, di sebuah kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Division, Sungai Petani, antara 1.30 tengah hari hingga 3 petang, 23 Ogos lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.

Sekiranya tidak dihukum gantung, pesalah juga boleh dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Kesemua tertuduh hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.

Noor Farah Hazwani kemudian menetapkan 11 November ini untuk sebutan semula kes dan proses serahan dokumen, termasuk laporan lengkap forensik.

Sebelum ini, Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah dilaporkan memaklumkan mayat seorang lelaki ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit.

“Kes pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut kerana tiada kesan kecederaan atau tetak dan sebagainya,” katanya.

Bagaimanapun, hasil bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyyah (HSB), Alor Setar mendapati terdapat kesan kecederaan di bahagian belakang kepala yang dipercayai akibat terkena objek tumpul.

Susulan penemuan itu, kes diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan empat suspek berusia antara 26 hingga 37 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Hasil siasatan dan risikan awal mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada pergaduhan selepas mangsa dipercayai mencuri barang-barang milik salah seorang suspek.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.