Empat kejadian banjir kilat sekitar Kuala Lumpur

Foto pengguna Threads

KUALA LUMPUR, 20 September – Empat kejadian banjir kilat dilaporkan berlaku di sekitar Kuala Lumpur dan kawasan berhampiran susulan hujan lebat petang tadi, termasuk dua kenderaan terkandas dan sebuah rumah dinaiki air.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bomba terima panggilan kecemasan dan menggerakkan pasukan dari BBP Keramat, Jalan Tun Razak dan Titiwangsa ke lokasi terjejas.
  • Kereta terkandas di Jalan Mengkudu (kira-kira tiga kaki) dan Taman U-Thant (kira-kira dua kaki); semua mangsa dilaporkan selamat.
  • Rumah di Ukay Perdana Height dinaiki air; penghuni lapor kemungkinan renjatan elektrik. Tempat letak kereta Menara Safuan turut dinaiki air tanpa mangsa.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima beberapa panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sebelum menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keramat, Jalan Tun Razak dan Titiwangsa ke lokasi terjejas.

Menurut kenyataan itu, kejadian pertama dilaporkan berhampiran Tuscany Home Furnitures, Jalan Mengkudu, Ampang, membabitkan sebuah kereta yang terkandas dalam banjir sedalam kira-kira tiga kaki.

“Seorang mangsa berada di dalam kenderaan berkenaan dan dilaporkan selamat,” menurut kenyataan itu.

Kes kedua berlaku berhampiran Kondominium Desa Angkasa, Taman U-Thant, membabitkan sebuah kereta yang terkandas dalam banjir sedalam kira-kira dua kaki, dengan dua mangsa di dalam kenderaan itu dilaporkan selamat.

Bomba turut membantu operasi di sebuah rumah di Jalan Kolam Air Lama C, Ukay Perdana Height, Ampang yang dinaiki air.

“Penghuni rumah memaklumkan terdapat kemungkinan berlaku renjatan elektrik pada genangan air banjir di kawasan berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Kes terakhir dilaporkan di Menara Safuan, Jalan Ampang, membabitkan kawasan tempat letak kereta yang dinaiki air, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.