
HULU TERENGGANU, 23 Ogos -Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu berjaya membongkar kegiatan sindiket penyeludupan minyak masak peket bersubsidi di Kampung Bukit Diman, Ajil dekat sini, pagi tadi.
- Empat individu, termasuk seorang wanita, ditahan dalam serbuan Op Tiris 4.0 bersama Cawangan Khas IPK Terengganu.
- Rampasan 3.4 tan minyak peket bersubsidi bernilai lebih RM103,000; sebuah lori dan sebuah kereta turut dirampas.
- Modus operandi sindiket: membeli dari pelbagai lokasi, simpan sementara, kemudian jual kepada pembeli pasaran gelap; siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Empat individu termasuk seorang wanita ditahan dalam serbuan di lokasi berkenaan menerusi Op Tiris 4.0 bersama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.
Pengarah KPDN Terengganu, Mohd Mufsi Lat mengesahkan 3.4 tan minyak masak peket bersubsidi dengan nilai lebih RM103,000 dirampas.
“Selain rampasan barang kes dalam operasi yang dijalankan pada pukul 9.30 pagi itu, sebuah lori serta kereta yang dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan turut dirampas.
“Lokasi berkenaan merupakan tempat simpanan barang dengan modus operandi sindiket adalah membeli minyak masak peket dari pelbagai lokasi serta disimpan sementara sebelum dijual kepada pembeli pasaran gelap,”katanya.
Siasatan lanjut terhadap kesemua suspek berkenaan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Beliau dalam pada itu turut memaklumkan sepanjang Op Tiris 4.0, KPDN Terengganu telah menjalankan pemeriksaan ke atas lebih 13,700 premis dengan 537 kes dikesan melibatkan pelbagai akta.