
KUALA LUMPUR, 23 Ogos — “Saya akan kuat demi ibu saya. Dia sahaja yang saya ada sekarang. Saya harap dia kuat demi saya juga,”.
- Ayah dan dua adik Siti Shakira maut selepas dirempuh lori 'Black Maria' Jabatan Imigresen di persimpangan Maju Junction, Jalan Sultan Ismail.
- Ibu terselamat tetapi cedera; Siti Shakira kini tinggal berdua bersama ibunya selepas kehilangan tiga ahli keluarga.
- Siti Shakira memohon al-Fatihah dan berterima kasih atas doa serta perkongsian kenangan baik tentang arwah keluarga.
Itu luahan Siti Shakira yang masih cuba menerima kehilangan bapa dan dua adiknya selepas dirempuh lori ‘Black Maria’ Jabatan Imigresen yang terbabas di Jalan Sultan Ismail, awal pagi Rabu lalu.
Siti Shakira menerusi perkongsian di Facebook berkata kehilangan itu berlaku sekelip mata dan sehingga kini dia masih sukar mempercayai tiga insan tersayang sudah tiada.
“Besar sangat ujian aku kali ini. Sehari sebelum ulang tahun kelahiran aku, aku diuji sekelip mata kehilangan seorang ayah dan kedua-dua adik aku.
“Sampai hari ini aku masih tak percaya itu mereka,” luah anak sulung keluarga berkenaan.
Menurutnya, keluarga kecil mereka yang sebelum ini terdiri daripada lima orang kini hanya tinggal dirinya dan ibu.
Katanya, arwah bapanya, tidak pernah meninggalkannya walaupun dia sudah berkahwin, malah sering mengajaknya keluar makan.
“Aku kena terima tiada lagi soalan ajakan daripada seorang ayah, ‘Along, jom makan’,” katanya.
Siti Shakira turut mengenang adiknya, Siti Nor Sazlin, yang sering mengajaknya ke pasar malam.
“Mat, jom pergi pasar malam,” katanya mengenang ungkapan arwah adiknya.
Manakala adik bongsunya, Siti Darwisyah Auni, sering meminta untuk dibelanja.
“Along, belanja Auni,” katanya.
“Semua soalan ini masih terngiang-ngiang dalam kepala aku. Aku ada mereka sahaja di dunia ini. Apa-apa pergi sana sini hanya dengan mereka,” katanya.
Dalam luahan sama, Siti Shakira memohon orang ramai menghadiahkan al-Fatihah kepada ketiga-tiga ahli keluarganya serta mendoakan ibunya yang turut menjadi mangsa kemalangan itu supaya segera sembuh.
“Aku tak nak dia down. Aku nak dia sembuh. Aku cuba kuat untuk terima semua takdir aku,” katanya.

Dalam kejadian awal pagi Rabu lalu, tiga sekeluarga maut selepas dirempuh lori ‘Black Maria’ Jabatan Imigresen yang terbabas di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail.
Mangsa ialah Shaikh Mohd Firdaus, 53, bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12, yang masing-masing maut di lokasi kejadian.
Isteri Shaikh Mohd Firdaus pula cedera di kepala, tangan serta kedua-dua kaki.
Siti Shakira turut melahirkan rasa syukur apabila menerima banyak perkongsian mengenai kebaikan arwah bapanya dan dua adiknya daripada orang ramai.
“Aku happy sebab ramai orang doakan dan sayang mereka,” katanya.