
GUA MUSANG, 5 April – Dua gajah liar jantan yang sering menceroboh kawasan penempatan Felda Aring 10 dan 11 di sini sejak tiga tahun lalu, akhirnya ditangkap.
- Gangguan gajah kerap beberapa bulan, mengancam keselamatan kira-kira 500 penduduk, merosakkan tanaman dan harta benda.
- PERHILITAN jalankan operasi pemindahan pada 1 April, dibantu dua gajah denak termasuk Cheri dan Rambai.
- Penduduk lega selepas operasi; kerosakan termasuk garaj rosak, pisang habis dimakan, dan anak pokok kelapa sawit terjejas.
Pembantu Pengurus Ladang Felda Aring 10, Muhammad Razzman Seman mendakwa gangguan haiwan berkenaan semakin kerap berlaku beberapa bulan kebelakangan ini.
Ia bukan sahaja mengancam keselamatan 500 warga setempat termasuk penduduk dan pekerja, malah menjejaskan tanaman serta harta benda.
Operasi pemindahan dua gajah liar berkenaan dilaksana Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) pada 1 April lalu.
“Keadaan ini berlarutan sudah tiga bulan, bermula Februari lalu. Setiap kali ada gangguan, saya terus buat laporan kepada PERHILITAN Gua Musang. Kerosakan melibatkan anak pokok kelapa sawit, landskap bunga dan pokok kelapa berhampiran rumah,” katanya.
Selain PERHILITAN, operasi pemindahan turut dibantu dua gajah denak termasuk Cheri dan Rambai.
“Dua gajah ini berkeliaran dalam kawasan perumahan, termasuk sekitar asrama pekerja. Harap selepas ini tiada lagi gajah masuk supaya keselamatan pekerja dan penghuni terjamin,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Khaidir Che Ibrahim menyifatkan tangkapan dua gajah liar tersebut melegakan kebimbangan mereka terhadap keselamatan diri dan harta benda.
“Syukur alhamdulillah, apabila dapat tangkap hari ini memang lega. Sebelum ini gajah merosakkan garaj kereta dan masuk kawasan rumah. Tanaman seperti pisang di tepi rumah juga habis rosak. Gajah itu memang datang rapat ke rumah dan lalu ikut jalan ini,” jelasnya.