
KUALA LUMPUR, 18 Jun – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan rasuah berjumlah RM1.45 juta berhubung tender menaik taraf Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil bernilai RM8.7 juta.
- Tertuduh didakwa menerima suapan RM1.45 juta untuk memilih Aerolux Power Constructions bagi tender menaik taraf Pusat Skuasy Nasional.
- Didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1).
- Jaminan ditetapkan RM100,000 dengan seorang penjamin, pasport diserahkan dan pelaporan bulanan ke Pejabat SPRM; sebutan kes 27 Julai.
Tertuduh, Iliyas Jamil, 42 tahun membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Suzana Hussin.
Mengikut semua pertuduhan, perbuatan terbabit dilakukan sebagai dorongan kepada tertuduh supaya bersetuju memilih Syarikat Aerolux Power Constructions Sdn Bhd sebagai pemenang tender Projek Menaik Taraf Gelanggang dan Kemudahan Sukan di Pusat Skuasy Nasional, Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil yang bernilai RM8,733,197.
Tertuduh meminta dan menerima suapan daripada Yap Yeow Kuen, 60 tahun antara 24 Februari hingga 13 April lalu di Pejabat PSM serta sebuah restoran di sebuah pusat beli-belah di Sri Petaling, Bukit Jalil, di ibu negara.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff.
Ketika prosiding, pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM200,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai serta melaporkan diri di Pejabat SPRM berhampiran sekali setiap bulan.
Bagaimanapun, Mohd Yusmadi dalam mitigasi rayuan memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan.
Mohd Yusmadi turut memaklumkan bahawa anak guamnya juga telah digantung pekerjaan dan tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi bagi menanggung keluarga.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM 100,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dan 27 Julai depan ditetapkan untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.