Bayi maut selepas tidak sedarkan diri di rumah pengasuh, ibu bapa tuntut keadilan

Aisyawati Isa dan suami menuntut siasatan terperinci dijalankan berhubung kematian bayi perempuan mereka, Aufa Zayyana Mohamad Zaerwafar. Foto RTM

ARAU, 28 April – Sepasang suami isteri menuntut siasatan terperinci dijalankan berhubung kematian bayi perempuan mereka berusia lapan bulan yang didakwa tidak sedarkan diri ketika berada di bawah jagaan pengasuh pada 15 April lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ibu bapa masih mencari jawapan dan akan menyerahkan satu bukti penting kepada polis untuk membantu siasatan.
  • Bayi dirawat di HTF, dirujuk ke HSB untuk pembedahan membuang darah beku di kepala.
  • Selepas kira-kira seminggu rawatan, bayi disahkan meninggal dunia dan dikebumikan di Jeli; laporan polis dibuat di IPD Arau.

Mereka menuntut pembelaan buat Aufa Zayyana Mohamad Zaerwafar, bagi memastikan punca sebenar kematian dapat dikenal pasti.

Ibu mangsa, Aisyawati Isa, berkata beliau menerima panggilan kira-kira pukul 5.20 petang pada hari kejadian yang memaklumkan anaknya tidak sedarkan diri.

Menurutnya, pengasuh hanya memaklumkan bahawa bayi itu menangis sebelum tiba-tiba tidak sedarkan diri.

Aisyawati memaklumkan, anaknya dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk menjalani pembedahan membuang darah beku di kepala.

“Sebelum ini anak saya dirawat di HTF dan kemudian dihantar ke HSB kerana perlu menjalani pembedahan membuang darah beku di kepala. Masa saya jumpa bayi saya pada 15 April itu, anak saya memang sudah tidak sedarkan diri. Sedangkan pagi sebelum dihantar kepada pengasuh, anak saya berada dalam keadaan sihat, ceria dan tidak menunjukkan sebarang tanda sakit,” katanya.

Sementara itu, suaminya Mohamad Zaerwafar Che Mat Zaidin, berkata sehingga kini mereka masih mencari jawapan berhubung punca sebenar kematian anak mereka.

Beliau berkata, keluarga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan, selain akan menyerahkan satu bukti penting bagi membantu siasatan.

Katanya, sehingga kini mereka masih menunggu jawapan dan berharap siasatan polis dapat merungkai punca sebenar kejadian.

“Sampai sekarang kami masih mencari jawapan. Kami serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan hari ini kami juga akan menyerahkan satu bukti penting bagi membantu siasatan.”

Dalam pada itu, peguam keluarga, Zuhair Ahmad Zakuan berkata memandangkan siasatan masih berjalan, pihaknya memilih untuk tidak mengulas lanjut buat masa ini.

Bagaimanapun, beliau berharap polis dapat menjalankan siasatan secara telus, adil dan menyeluruh, khususnya demi keadilan kepada mangsa.

“Memandangkan siasatan masih berjalan, kami memilih untuk tidak mengulas lanjut buat masa ini. Namun, kami berharap pihak polis menjalankan siasatan dengan betul, adil dan telus, khususnya demi keadilan kepada mangsa,” katanya.

Aufa Zayyana mendapatkan rawatan di HTF sebelum dibawa ke HSB pada keesokan harinya untuk menjalani pembedahan susulan akibat pendarahan beku di kepala.

Bagaimanapun, selepas kira-kira seminggu menerima rawatan, bayi itu disahkan meninggal dunia di HSB sebelum dikebumikan di Jeli, Kelantan.

Laporan polis berhubung kejadian itu telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau pada hari sama dan perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi.