Abdul Azeez dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman mengikut Seksyen 420

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR, 9 Sept – Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim akan dibawa ke Mahkamah Sesyen, di sini pagi ini, untuk prosiding reman mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis memohon perintah reman di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
  • Abdul Azeez akan didakwa di Mahkamah Sesyen berkaitan pertuduhan di bawah Akta SPRM.
  • Laporan RCI mencadangkan audit forensik terhadap pelaburan bermasalah dan menemui transaksi mencurigakan serta penyembunyian maklumat.

Peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat berkata Abdul Azeez ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman petang semalam, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

“Polis akan memohon perintah reman di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Berdasarkan semakan sistem mahkamah, Abdul Azeez kemudiannya akan didakwa di hadapan Hakim Azura Alwi di Mahkamah Sesyen berkaitan pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada 27 Ogos lepas, bekas pengerusi TH itu dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan masing-masing direman tujuh hari hingga 2 Sept, bagi membantu siasatan susulan pendedahan berkaitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai institusi itu.

Kedua-dua individu berkenaan disiasat di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

Laporan RCI mengenai TH yang yang didedahkan kepada umum pada 29 Julai lepas antara lain mencadangkan supaya audit forensik dijalankan untuk meneliti kaedah keputusan pelaburan lepas dibuat sehingga menyebabkan TH berhadapan dengan penurunan nilai aset yang teruk.

Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi TH dari 2014 hingga 2020 itu turut menyenaraikan pelaburan bermasalah yang memerlukan audit forensik.

Laporan berkenaan turut mendapati wujudnya transaksi mencurigakan dan penyembunyian maklumat.

Skop siasatan RCI meliputi penelitian terhadap isu berkaitan TH sepanjang tempoh berkenaan dengan merujuk penemuan firma PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger, tidak termasuk pelan penstrukturan serta pemulihan yang sedang dijalankan ketika itu.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.