
ISKANDAR PUTERI, 9 September – Cubaan seleweng 2,500 liter diesel gagal, selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menyerbu sebuah tapak pembinaan di sini petang semalam, hasil risikan selama sebulan.
- Lori berkenaan pernah dikenakan tindakan atas kesalahan sama sebelum ini.
- KPDN menyita dua tangki IBC, sebuah tangki skid, pam, meter aliran, hos dan lori bernilai dianggarkan RM33,075.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 20(1), Akta Kawalan Bekalan 1961; dua pekerja tempatan berusia 39 dan 43 tahun ditahan.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo menerusi kenyataan mengesahkan pemeriksaan menemukan sebuah lori yang diubah suai dengan dilengkapi tangki simpanan bersama kira-kira 2,500 liter cecair disyaki diesel.
“Lori berkenaan disita dan premis berkenaan disyaki menyimpan diesel di lokasi yang tidak dilesen atau dibenarkan Pengawal Bekalan.
“Semakan rekod turut mendapati lori berkenaan pernah dikenakan tindakan atas kesalahan sama sebelum ini.
“KPDN turut menyita dua tangki Intermediate Bulk Container (IBC), sebuah tangki skid, pam, mesin pengukur aliran, hos serta lori dengan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM33,075,”menurut kenyataan itu lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 20(1), Akta Kawalan Bekalan 1961.
Dua individu tempatan, masing-masing berusia 39 dan 43 tahun dipercayai pekerja premis telah ditahan, bagi membantu siasatan.