
IPOH, 5 September – Empat lelaki warga tempatan ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel dalam dua kes berasingan di Kampar dan Kuala Kangsar, pada Jumaat.
- Dua lelaki di Kampar ditahan sekitar Kuil Muniswaran; polis rampas dua pemotong kabel dan lima gulung kabel.
- Juruteknik Telekom Malaysia mengesahkan kabel dirampas milik TM; anggaran kerugian kira-kira RM1,000.
- Dalam kes di Kuala Kangsar, dua suspek ditahan di tepi Jalan Raja Chulan; polis rampas dua kenderaan, pemotong, sebatang besi penarik dan tiga gulung kabel.
- Semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah; kes disiasat di bawah Seksyen 379 dan siasatan lanjut dijalankan.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, dalam kes pertama di Kampar, dua lelaki berusia 42 dan 46 tahun ditahan kira-kira pukul 4.30 pagi, selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan di sekitar Kuil Muniswaran, Batu Malim Nawar.
Hasil pemeriksaan, polis merampas dua pemotong kabel dan lima gulung kabel daripada kedua-dua suspek.
Pengecaman oleh juruteknik Telekom Malaysia mengesahkan kabel yang dirampas milik TM.
“Kabel tersebut merupakan kabel talian telefon yang telah dipotong dan tidak lagi berfungsi, dengan anggaran kerugian kepada pihak TM kira-kira RM1,000,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kes berasingan di Kuala Kangsar, polis menerima maklumat mengenai pergerakan mencurigakan dua kenderaan di sekitar Taman Sri Pagi, Kati yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan mencuri kabel.
Bertindak atas maklumat tersebut, dua lelaki berusia 24 dan 36 tahun ditahan di tepi Jalan Raja Chulan, Kuala Kangsar.
Polis turut merampas dua kenderaan, pemotong kabel, sebatang besi penarik kabel, tiga gulung kabel, sebuah beg silang dan telefon bimbit.
Semakan mendapati keempat-empat suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan suspek dalam kes kecurian kabel lain.