12 warga asing ditahan, lebih 6.5 tan ayam tidak halal dirampas

Foto hiasan

PUCHONG, 30 Oktober – Sebanyak 6,555 kilogram (kg) ayam mentah bernilai RM85,400 yang diproses tanpa mematuhi kaedah sembelihan Islam dirampas dan 12 warga asing ditahan dalam Op Taring Chiller di sebuah gudang di sini pada Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Premis disyaki dijadikan lokasi penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran ayam tanpa sijil halal yang sah.
  • Ayam dipercayai direndam air panas sehingga mati sebelum penyembelihan, menimbulkan keraguan terhadap pematuhan hukum syarak dan status halal.
  • Operasi berbilang agensi mengeluarkan tindakan undang-undang dan notis JAS serta PKD; rampasan ayam ditempatkan sementara di pejabat JAIS Shah Alam.

Komander Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Bukit Aman, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) Datuk Mohd Zaki Ashar menerusi kenyataan memaklumkan, premis berkenaan disyaki dijadikan lokasi penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran ayam segar tanpa sijil halal yang sah.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan 12 lelaki warga asing warga Bangladesh dan Pakistan yang bekerja dalam aktiviti penyembelihan dan pemprosesan bagi membantu siasatan.

“Pemeriksaan awal mendapati ayam dipercayai melalui proses rendaman air panas sehingga mati sebelum penyembelihan dilakukan, sekali gus menimbulkan keraguan serius terhadap pematuhan hukum syarak serta status halal produk,” menurut kenyatan itu.

Siasatan awal mendapati premis terbabit memperoleh bekalan ayam dari ladang di sekitar Sungai Sepat, Sungai Pelek dan Sepang.

Bekalan ayam yang diproses kemudiannya diedarkan kepada kedai makan, kedai runcit dan pasar raya di sekitar Damansara, Bangi, Puchong, Cheras, Putra Perdana serta Putrajaya.

Dalam pada itu, JAIS mengambil tindakan undang-undang bawah Seksyen 3(1)(a) dan Seksyen 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011, manakala Jabatan Alam Sekitara (JAS) Selangor mengeluarkan Notis Penahanan Kelengkapan Operasi bawah Seksyen 38(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling mengenakan Notis Pembersihan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 berikutan ketidakpatuhan aspek kebersihan, kawalan suhu dan fizikal premis.

PDRM pula menahan kesemua warga asing terbabit mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kesemua ayam mentah yang dirampas ditempatkan sementara di Pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Shah Alam bagi tindakan lanjut.

Pihak berkuasa turut menasihati orang ramai supaya peka terhadap sumber bekalan makanan dan memastikan produk yang dipasarkan sebagai halal mematuhi keperluan pensijilan yang ditetapkan.

Operasi kira-kira pukul 12.40 tengah malam itu dijalankan Pasukan Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman bersama JAIS, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), JAS Selangor serta PKD Petaling.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.