DUNGUN, 15 Oktober - Pemandu wanita yang melanggar empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Dungun didakwa atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dengan niat di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Pendakwaan ke atas Norizan Ismail 49 tahun dibacakan dihadapan Majistret Nur Amira Fatihah Osman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin masing-masing berusia 20 tahun dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25 tahun pada 9 Oktober 2024 pukul 7.35 malam.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Jika sabit Kesalahan boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dijuga dihukum sebat, tidak kurang 12 sebatan.
Mahkamah mengarahkan wanita itu menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai, Johor Bharu, selama sebulan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, merangkap Pengarah Pendakwaan Negeri, Azizan Abdullah.
Manakala tertuduh diwakili Peguam Nur Farahin Shazlin Mohd Redhuan Shah Edwin.
Mahkamah menetapkan 17 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Terdahulu, ibu tiga orang anak itu tiba di perkarangan Mahkamah Majistret Dungun kira-kira 8.40 pagi tadi dengan memakai pakaian lokap berwarna Oren.
Sebelum ini, wanita berusia 49 tahun yang dipercayai mempunyai penyakit mental itu direman enam hari bermula Khamis lepas.
Dalam kejadian Rabu lalu, wanita berkenaan yang memandu kenderaan utiliti sukan merempuh dua motosikal dinaiki empat pelajar yang dalam perjalanan pulang ke kampus.
Ku Adib Aizad Ku Azmi, Khairil Anwar Jamaludin, dan Muhammad Akmal Md Tukirin, disahkan meninggal dunia dilokasi kejadian.
Seorang lagi mangsa yang cedera juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan ialah Muhammad Ammar Danish Mohd Ridhuan, 20, yang sebelum ini dirawat di Hospital Dungun telah dibenarkan keluar.
BERITA BERKAITAN:
- Nahas pelajar UiTM Dungun: Pemandu wanita direman dua hari lagi
- Jenazah tiga pelajar UiTM Dungun maut dirempuh SUV selamat dikebumikan
- Keluarga pelajar UiTM Dungun maut dirempuh SUV terima RM10,000 sumbangan KPT
- Jenazah tiga mahasiswa UiTM Dungun dibawa pulang untuk dikebumi
- Tiga penuntut UiTM Dungun maut dirempuh wanita dipercayai sakit mental
- Dirempuh SUV, tiga penuntut UiTM Dungun maut