fb fb fb fb fb

Tindakan Rewcastle-Brown fitnah Sultanah Terengganu tidak hormat institusi diraja - Mahkamah

Gambar fail editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Jun - Mahkamah Majistret Kuala Terengganu menyifatkan tindakan pengasas dan editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown memfitnah Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah dalam buku The Sarawak Report-The Inside Story of 1MDB Expose sebagai tidak menghormati institusi diraja di negara ini.

Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri berkata perbuatan Rewcastle-Brown telah memberi persepsi yang tidak baik kepada Sultanah Terengganu serta menjejaskan nama baik dan reputasi baginda.

"Berdasarkan keterangan yang dikemukakan oleh saksi pendakwaan, mahkamah berpuas hati bahawa kata-kata tohmahan terhadap Sultanah Terengganu adalah berunsur fitnah yang boleh menyebabkan nama baik dan reputasi Sultanah Terengganu tercemar dengan tohmahan tersebut.

"Perkataan tohmahan tersebut secara langsung telah mengaitkan penglibatan Sultanah Terengganu dengan seorang individu iaitu Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho) yang disyaki terlibat dengan skandal 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan secara tidak langsung mencemarkan nama baik Sultanah Terengganu dalam skandal terbesar negara ini," katanya dalam alasan penghakiman bertarikh 2 Jun yang dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata institusi diraja secara amnya mempunyai kedudukan istimewa dan tertinggi dalam Perlembagaan Malaysia serta amat dipandang tinggi terutama oleh rakyat jelata khususnya di negeri yang terkesan akan tohmahan tersebut.

Nik Mohd Tarmizie berkata kegagalan tertuduh menghormati sistem perundangan negara ini dan memilih mengetepikan haknya untuk hadir semasa perbicaraan turut dipertimbang oleh mahkamah dalam menjatuhkan hukuman.

Beliau berkata mahkamah berpuas hati dengan segala usaha membawa Rewcastle-Brown ke muka pengadilan dan juga tindakan oleh tertuduh sendiri dalam kes ini membolehkan perbicaraan dijalankan secara in absentia.

Hakim itu juga berkata reaksi tertuduh yang melarikan diri daripada menghadapi pertuduhan setelah berkomunikasi dengan pegawai penyiasat dan hanya mewakilkan kepada peguam melalui lantikan secara jauh bagi memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menunjukkan tindakan terkemudian beliau dalam kes ini.

"Tertuduh juga berani mengeluarkan kenyataan melalui laporan sebuah portal berita yang menunjukkan beliau mempunyai pengetahuan penuh terhadap kes yang dihadapi.

“Memandangkan perbicaraan dijalankan secara in absentia di bawah Seksyen 425A Kanun Tatacara Jenayah, mahkamah tiada pilihan lain dan dengan ini mendapati tertuduh bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta dihukum penjara dua tahun dari tarikh sabitan (7 Feb)," katanya.

Rewcastle-Brown telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dan 6 Jun ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

Mengikut pertuduhan, Rewcastle-Brown yang beralamat di London, United Kingdom telah menulis The Sarawak Report-The Inside Story of 1MDB Expose yang mengandungi tohmahan terhadap Sultanah Terengganu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu pada 8 pagi 14 Sept 2018 di Lot 60048, Taman Chendering Utama di sini mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Sebelum ini, Rewcastle-Brown didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada 23 Sept 2021 dan membuat pemohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur K. Muniandy pada 21 Jun 2023 menolak permohonan itu dan kes kekal dibicarakan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN