fb fb fb fb fb

Tiga suspek kes bunuh ditahan dalam tempoh dua jam

FOTO HIASAN

JOHOR BAHRU, 28 Oktober- Tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam pergaduhan sehingga mengakibatkan seorang lelaki maut, ditahan selepas kereta yang dinaiki ketiga-tiga suspek terbabas di Jalan Tun Dr Ismail kira-kira pukul 5.30 pagi semalam.

Menerusi satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata ketiga-tiga suspek ditahan selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas semasa cuba melarikan diri daripada pemeriksaan.

"Polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai pergaduhan melibatkan beberapa lelaki sehingga mengakibatkan seorang maut, telah melancarkan gerakan bagi memburu lapan suspek.

"Semasa pegawai bersama anggota Bahagian Siasatan Jenayah cuba membuat pemeriksaan lanjut, pemandu kenderaan tersebut terus memecut laju sehingga sampai di Jalan Tun Dr Ismail hadapan Istana Besar Johor bahru sebelum gagal mengawal kenderaan lalu terbabas.

“Hasil semakan mendapati seorang suspek mempunyai dua kes jenayah berkaitan dadah, dan hasil ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya.

Beliau berkata polis turut merampas sebilah pisau daripada mereka, dan kes bunuh itu disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika disabit kesalahan boleh membawa hukuman mati.

Dalam kejadian tersebut mangsa yang maut mengalami cedera kesan tikaman di bahagian dada sebelah kanan, bahagian perut, bawah rusuk sebelah kiri, bahagian bahu sebelah kiri, belakang badan, jari tangan dan pipi kiri kiri.

"Punca kejadian masih dalam siasatan. Salah seoarang saspek yang merupakan pemandu kereta terbabit juga di siasat bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara minimum sepuluh tahun atau maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM100,000"katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi terus di talian hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE