fb fb fb fb fb

Tiga pegawai Imigresen Johor ditahan, seludup warga asing

Lima individu termasuk tiga pegawai Jabatan Imigresen direman lima hari bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah bagi menyeludup warga asing masuk menerusi LTAS.

JOHOR BAHRU, 6 Mac- Tiga pegawai Jabatan Imigresen dan dua orang awam direman selepas disyaki meminta dan menerima rasuah untuk penyeludupan masuk warga asing menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), di sini.

Perintah reman itu dibenarkan Penolong Kanan Pendaftar, Nurkhalida Farhana Abu Bakar selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, hari ini.

Kelima-lima tertuduh terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berumur antara 35 hingga 46 tahun itu direman sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut.

Tiga pegawai imigresen ditahan ketika bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, manakala dua orang awam ditahan di pejabat SPRM dan di Larkin, Johor. 

Siasatan awal mendapati,terdapat beberapa pesanan ringkas mengandungi tawaran dan penerimaan wang rasuah daripada warga asing yang ingin memasuki negara ini melalui pegawai terbabit. 

Ia bagi membantu warga asing tersebut masuk tanpa melalui proses dan prosedur yang betul mengikut Arahan Tetap Ketua Imigresen Bil.03 2019 dan Akta Imigresen 1956/ 63. 

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

ZEHRA BINTI ZAMBRI