fb fb fb fb fb

Seorang lelaki ditahan, bantu siasatan bakar kenderaan polis bantuan

Kenderaan polis bantuan dibakar berhampiran stesen MRT Mutiara Damansara, Bandar Utama

PETALING JAYA, 15 Februari- Polis daerah Petaling Jaya menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat membakar sebuah kenderaan polis bantuan Prasarana yang diparkir di lokasi berhampiran stesen MRT Mutiara Damansara, Bandar Utama.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abd Hamid dalam satu kenyataan berkata, menerima panggilan orang awam berkenaan kejadian itu kira-kira pukul 1.42 pagi tadi.

"Bertindak atas maklumat, pada pukul kira-kira 1.17 pagi sebuah unit rondaan bermotosikal (URB) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dengan sebuah jentera Bomba dan Penyelamat dari Damansara ke lokasi kejadian dan kebakaran tersebut berjaya dipadamkan dalam tempoh masa 10 minit.

"Pihak polis telah membuka kertas siasatan bawah Seksyen 435 / 427 kanun keseksaan khianat dengan api," kata kenyataan itu.

Lelaki berkenaan ditahan di kawasan Flat Flora Damansara bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun hasil siasatan mendapati, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morphine.

Suspek juga telah memuat naik video kebakaran tersebut yang berdurasi lima saat menerusi aplikasi TikTok yang dipercayai miliknya.

Selain itu beberapa peralatan iaitu tukul besi dan botol air bagi mengisi petrol yang disyaki digunakan dalam kebakaran itu turut dirampas.

Motif kejadian masih dalam siasatan pihak polis.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes itu boleh menghubungi bilik gerakan ibu pejabat polis daerah petaling jaya menerusi talian 03-79662222.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI