JOHOR BAHRU, 7 Disember- Polis menahan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun di kawasan Tampoi, Johor Bahru, Johor, pada Khamis susulan penemuan bayi lelaki di dalam tandas sebuah kompleks membeli-belah di Johor Bahru, pada hari yang sama.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Balveer Singh berkata bayi berkenaan ditemui bersama uri dalam keadaan berlumuran darah, oleh pekerja pembersihan pada pukul 4.51 petang.
Pihaknya menerima laporan daripada orang awam pada pukul 5.54 petang.
Bayi lelaki tersebut, kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima pemeriksaan lanjut di Hospital Sultanah Aminah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi. Jika sabit kesalahan akan dijatuhi hukuman penjara selama tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Polis kini juga sedang giat mengesan seorang lelaki warga tempatan untuk membantu siasatan.