fb fb fb fb fb

Polis tahan lelaki warga asing bakar mercun dari dalam kereta bergerak

Tangkap layar video tular menunjukkan seorang lelaki membakar mercun dari dalam kereta yang sedang bergerak

KUALA LUMPUR, 13 November- Polis menahan seorang lelaki warga asing kerana disyaki membakar mercun dari dalam kereta yang sedang bergerak di Jalan 2/3A Pusat Bandar Utara, susulan tular rakaman video yang menunjukkan insiden itu, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari menerusi satu kenyataan memaklumkan kira-kira pukul 8.30 malam semalam, pihaknya telah mengesan sebaran sebuah klip video berdurasi 14 saat yang memaparkan sebuah kereta yang dipandu oleh individu tidak dikenali membakar mercun (bunga api) secara bergerak di Jalan 2/3A Pusat Bandar Utara Kuala Lumpur.

Beliau berkata, video tersebut telah ditularkan oleh akaun media sosial Instagram Kosmo Online seperti di pautan www.instagram.com/reel/czinw_svzs4/?igshid=bhrhc3pvbdrodzn.

"Hasil semakan pihak polis mendapati video tersebut dengan jelas memaparkan perbuatan berbahaya tersebut.

"Bertindak atas maklumat, pihak polis telah berjaya menahan seorang lelaki warga asing berumur 31 tahun serta merampas sebuah kereta jenis Proton Waja berwarna perak yang digunakan semasa kejadian,"katanya dalam kenyataan tersebut.

Ahmad Sukarno berkata, suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah lampau dan akan direman di IPD Sentul bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957 iaitu kesalahan yang menyebabkan letupan dengan niat mendatangkan bahaya kepada nyawa atau harta benda.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Tambah Ahmad Sukarno, polis Kuala Lumpur ingin menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan bersama-sama menjaga kesejahteraan serta keharmonian di Kuala Lumpur.

Jelasnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan insiden ini boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE