fb fb fb fb fb

Polis tahan 31 individu termasuk 17 berjawatan di GISBH

PDRM

KUALA LUMPUR, 21 September- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 31 lagi individu termasuk 17 yang memegang jawatan dalam Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) dalam satu operasi besar-besaran bermula pada Rabu lepas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husin berkata penahanan dilakukan di beberapa lokasi strategik termasuk Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Kedah di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Dengan tangkapan terbaru itu, jumlah keseluruhan tangkapan berkaitan GISBH meningkat kepada 200 orang.

"Permohonan reman bagi semua tangkapan tersebut telah dibenarkan selama tujuh hari dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Razarudin, sehingga kini, PDRM telah membuka 37 kertas siasatan termasuk tiga penambahan kes pada 17 September 2024 di Kuala Pilah, Negeri Sembilan bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017, serta satu di Sungai Kapar, Selangor bawah Seksyen 14 ATIPSOM 2007. Daripada jumlah tersebut, lapan kertas siasatan melibatkan tujuh suspek dituduh dengan 29 pertuduhan.

"(Selain itu) seramai 139 suspek yang ditahan sebelum ini telah disambung reman dan 23 lagi diberi jamin polis atas sebab-sebab tertentu," katanya.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, kesemua mangsa berusia 18 tahun ke atas telah diserahkan kepada waris masing-masing, manakala mangsa berusia 18 tahun ke bawah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi sementara siasatan masih berlangsung.

"PDRM sedang giat dan kekal komited dalam melaksanakan siasatan secara terperinci dalam operasi ini.

"Mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa atau mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta untuk tampil membuat laporan bagi sekian kalinya di mana-mana balai polis berhampiran bagi melengkapkan siasatan terhadap kes ini secara tuntas dan menyeluruh," katanya.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA