fb fb fb fb fb

Polis tahan lima individu, rampas dua kenderaan ada lambang GISBH di Bukit Kayu Hitam

FOTO JIM KEDAH

KUALA LUMPUR, 18 September- Lima individu termasuk anak kepada Pengerusi Global Ikhwan Sdn Bhd (GISBH) ditahan dipercayai cuba keluar dari Malaysia ke negara jiran melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan, ICQ Bukit Kayu Hitam, petang tadi.

Kesemua individu berusia 29 hingga 45 tahun itu ditahan ketika tiba di Kompleks berkenaan kira-kira pukul 3 petang dengan menaiki dua buah motorhome.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima maklumat berkaitan beberapa ahli GISBH yang dikatakan cuba melarikan diri ke Thailand bersama aset syarikat.

Salah seorang anak kepada Pengerusi GISBH dilaporkan turut berada di tempat kejadian.

Situasi tersebut mencetuskan kebimbangan orang ramai mengenai kemungkinan aset penting syarikat serta bukti berkaitan dibawa keluar dari Malaysia.

Semakan rekod keluar masuk menunjukkan bahawa perjalanan terakhir mereka ke luar negara pada 20 Ogos 2024 melalui pintu sempadan yang sama.

Walaupun tiada pelanggaran undang-undang Imigresen dikesan, namun JIM memutuskan untuk bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana siasatan lebih lanjut sedang dijalankan.

Setelah kedua-dua motorhome memasuki kawasan ICQS, JIM menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap kesemua individu terlibat.

"PDRM kemudiannya mengambil alih kes ini, menahan seorang daripada mereka untuk siasatan lanjut. Sementara yang lain turut diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut," menurut kenyataan JIM Kedah.

Dalam perkembangan lain, motorhome tersebut dilaporkan dibawa ke sempadan bagi tujuan memperbaharui dokumen Permit Peredaran Antarabangsa (ICP) yang dikhabarkan hampir tamat tempoh.

Menurut peraturan Jabatan Pengangkutan Jalan, JPJ, setiap kenderaan perlu hadir secara fizikal untuk pemeriksaan.

Pemeriksaan JPJ mendapati, nombor casis dan enjin kenderaan adalah dalam keadaan baik dan pembaharuan ICP hanya boleh dilakukan di pejabat JPJ sempadan dengan tempoh sah selama tiga bulan.

Maklumat awal menyatakan kenderaan tersebut didaftarkan atas nama individu di Qatar, bukan milik GISBH dan menggunakan nombor pendaftaran Dubai dengan nilai RM700,000.  Setiap motorhome mampu memuatkan enam hingga lapan orang pada satu-satu masa.

Setelah selesai urusan JPJ, kenderaan itu dijangka bergerak ke GISB Darul Aman, Jitra untuk bermalam.

Tegas JIM, pihaknya sentiasa bersedia bekerjasama dengan agensi lain seperti PDRM bagi memastikan keselamatan dan integriti sempadan negara sentiasa terpelihara.

"Sebarang percubaan untuk melanggar undang-undang termasuk tindakan membawa keluar aset atau individu tanpa kebenaran yang sah pasti akan mendapat perhatian segera pihak berkuasa.." Katanya.

Mengesahkan penahanan tersebut, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Beliau berkata berkata kejayaan menahan individu dan merampas dua kenderaan rekreasi yang mempunyai lambang GISBH dengan nombor pendaftaran X31337 dan X37313 di bandar sempadan Malaysia-Thailand itu adalah hasil siasatan Unit Risikan Sempadan Zon Utara.

Minggu lepas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISB Holdings dan menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur setahun hingga 17 tahun.

Razarudin sebelum ini memaklumkan bahawa ujian saringan kesihatan terhadap 392 kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal GISBH dalam Op Global itu mendapati mereka mengalami penderaan fizikal dan emosi serta eksploitasi buruh termasuk dipaksa bekerja menjual barang.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE