fb fb fb fb fb

Imigresen serbu dua premis, tumpaskan sindiket ‘gadis kalung bunga’

FOTO FB Jabatan Imigresen Malaysia

KUALA LUMPUR, 21 September- Sindiket ‘gadis kalung bunga’ ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di dua premis perniagaan sekitar ibu negara, semalam.

Menerusi hantaran di laman Facebook, JIM memaklumkan operasi yang dijalankan pada pukul 9 malam itu merupakan hasil risikan pasukan operasi di dua premis perniagaan di Bandar Manjalara Kepong dan Bukit Bintang.

Modus operandi sindiket adalah menyediakan perkhidmatan perempuan warganegara asing dengan kalungan bunga yang mempunyai harga berbeza.

Pelanggan akan diberi pilihan untuk memilih kalungan bunga pada kadar harga bermula RM100 hingga RM1,000 bagi satu jam bergantung kepada jenis dan bentuk kalung bunga tersebut.

Susulan itu, 93 warga asing ditahan membabitkan tujuh lelaki warga China, lima lelaki warga Bangladesh, dua lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki warga Thailand.

Turut ditahan 62 wanita warga Thailand, 10 wanita warga Vietnam, empat wanita warga China dan masing-masing seorang wanita warga Mongolia serta Laos.

Kesemua warga asing terbabit berusia lingkungan 18 hingga 39 tahun.

Kesemua warga asing itu ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1966 dan telah dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya untuk siasatan lanjut.

2109 IMIGRESEN SINDIKETFOTO FB Jabatan Imigresen Malaysia

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE