fb fb fb fb fb

Pesawah tidak mengaku rogol, seks luar tabii anak jiran

Tertuduh, 28, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini

BUTTERWORTH, 29 Mei- Seorang pesawah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas 10 pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii dengan seorang remaja perempuan bawah umur.

Tertuduh, 28, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii dan merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam bilik tidur di sebuah rumah di sebuah kampung di Kepala Batas antara jam 1 hingga 1.30 pagi dari 3 hingga 12 Mei lalu.

Pendakwaan kes dibuat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan bagi kesalahan merogol dan kesalahan persetubuhan luar tabii pula di bawah Seksyen 377(c) Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, Wan Amira tidak membenarkan tertuduh diikat jamin memandangkan mangsa adalah anak jiran yang dikhuatiri akan mengganggu mangsa.

Mahkamah juga tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan kes akan disebut semula pada 27 Jun depan untuk laporan perubatan serta serahan dokumen.

SITI AISHAH MD ISA