fb fb fb fb fb

Operasi jenayah rentas sempadan, enam individu ditahan ESSCOM

Foto Hiasan

TAWAU, 12 Oktober- Enam individu termasuk seorang lelaki warga asing ditahan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dalam operasi jenayah rentas sempadan (JRS) di sekitar daerah ini, pada Jumaat.

Selain itu, merampas wang tunai bernilai lebih RM1.4 juta.

Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata operasi bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta polis dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman itu menahan empat wanita serta dua lelaki berusia antara 40 hingga 47 tahun di kawasan premis perniagaan serta rumah.

“Semua individu terbabit ditahan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001."

"LHDN kini menjalankan siasatan lanjut terhadap individu terlibat. Turut dirampas dalam operasi itu beberapa peralatan seperti telefon dan dokumen serta fail-fail berkaitan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Victor berkata operasi menyasarkan sembilan premis dan bertujuan menjamin keselamatan serta memelihara ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) selain untuk membanteras penyeludupan barang tidak bercukai secara menyeluruh.

"ESSCOM akan terus memperhebat operasi bersepadu seumpama ini ke daerah-daerah dalam ESS Zone bagi mengekang apa jua elemen jenayah rentas sempadan yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam di pantai timur Sabah," katanya.

Beliau turut menasihatkan masyarakat agar menyalurkan maklumat jika terdapat sebarang insiden keselamatan di ESS Zone.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM